12. Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasululah; maka kalau kamu berpaling ( enggan taat, kamu yang akan menderita balasannya yang buruk ) kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan ( perintah-perintah ) dengan jelas nyata.
13. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang beriman wajib berserah diri.
14. Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan ( mereka ) serta mengampunkan kesalahan mereka ( maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu ) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
15. Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan disisi Allah jualah pahala yang besar.
16. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah ( akan pengajaran-pengajaranNya ) serta taatlah ( akan perintah-perintahNya ) dan belanjalah harta kamu ( serta buatlah ) kebajikan untuk diri kamu. Dan ( ingatlah ) sesiapa yang menjaga dan memelihara dirinya daripada di pengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
17. Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik ( ikhlas ) nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar ( untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat )
18. Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, ( dan Dialah jua ) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Sila rujuk ayat ini = Surah At-Taghaabun
No comments:
Post a Comment