Wednesday, July 24, 2013

Cubalah Bersikap Sabar Dengan Perangai Isteri

Diceritakan , bahawa ada seorang datang kerumah Khalifah Umar Al Khattab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila orang itu sampai ke pintu rumah Khalifah, tiba-tiba ia terdengar isteri Khalifah sedang mengangkat suara mengata nista Khalifah sedangkan Khalifah hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab sepatah kata pun.
Maka orang itu tidak jadi hendak mengadu, malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah Khalifah Umar Al Khattab, maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh Khalifah seraya bertanya kepadanya: " Apa hajatmu datang kemari? "
Jawabnya: " Tidak apa-apa wahai Amirul Mukminin! "
Tanya Khalifah: " Mengapa datang, kalau tiada apa-apa? "
Kata orang itu lagi: " Sebenarnya saya datang untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati Tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya! "

Berkata Khalifah Umar: " Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua ini kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasakkan makanan untukku, membuat roti untukku. membasuh pakaianku, menyusukan anakku, padahal itu tidak wajib atasnya. Dan dia telah menjadi tempat kemesraanku, dimana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya,jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga sahaja. "

Kata ornag itu pula: " Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba juga, wahai Amirul Mukminin. "

Maka berkata Amirul Mukminin lagi: " Wahai saudaraku. Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu! "