Friday, September 27, 2013

Hak Wanita Menurut Islam

Soalan:
Apakah sama hak-hak yang diberikan Islam kepada lelaki & wanita?

Jawapan:

Agama Islam memandang sama antara darjat lelaki dan wanita. Oleh yang demikian, Islam juga menyamakan hak-hak lelaki dan wanita, samada dari segi pemikiran, mengadakan akad, berjual beli, hibah, wasiat, dan hak mewakilkan sesuatu kepada orang lain.

Menurut Islam, peribadi seseorang wanita dianggap sempurna sebagaimana kaum lelaki. Wanita yang belum berkahwin, sedangkan dia sudah akil baligh dan waras, berhak mengatur segala urusan hartanya. Walinya tidak boleh campur tangan dan menguruskan hartanya kecuali dengan persetujuannya atau dia telah mewakilkan mereka untuk menguruskan harta tersebut bagi pihaknya


Bahkan setelah berkahwin pun, hak-hak yang dimilikinya sebelum berkahwin tidak boleh dicampurkan dengan hak suaminya. Suaminya tidak boleh campur tangan kecuali dengan keizinannya. Dia boleh memilih samada mewakilkannya kepada suaminya untuk menguruskannya atau tidak. Dan setelah berwakil, dia boleh menarik kembali keizinannya itu semula bila-bila masa dikehendakinya


Barang-barang yang dibawa oleh mereka atau yang mereka miliki sebelum berkahwin tidaklah termasuk dalam harta perkongsian antara pasangan suami isteri itu dan masing-masing berhak menggunakan hartanya serta menguruskannya


Terdapat dua perkara yang perlu di beritahu iaitu:


  • Di Eropah pada zaman lampau kaum wanita mereka tiada hak menguruskan hartanya sendiri. Lebih kurang tiga puluh tahun kebelakangan ini (**rujuk tarikh penulisan artikel) wanita berhak menguruskan hartanya, padahal Islam sudah membuat peraturan seperti ini semenjak empat belas abad yang lalu
  • Di Eropah, setelah berlangsungnya perkahwinan, si suami dibolehkan mencampurkan harta yang di bawa oleh si isteri menjadi milik bersama. Si suami dianggap sebagai orang yang menerima wasiat atau sebagai wakil dari isterinya (**sila baca kitab Tanzim Al-Islam Li Al-Mujtama page 88)
Sementara dalam dunia Islam si suami diwajibkan memberi nafkah kepada isteri dan keluarganya. Dia tidak boleh menyentuh harta atau milik peribadi isterinya dengan alasan telah memberikan nafkah kepadanya kecuali atas persetujuan isterinya. Kalau isteri tidak setuju, dia wajib memberikan nafkah kepada isterinya seolah-olah isteri itu tidak mempunyai apa-apa. Seandainya si suami itu bakhil atau enggan memberi nafkah, isteri  berhak melapurkan kepada Mahkamah Syariah. Hakim akan memaksa lelaki itu memberikkan nafkah atau memisahkan mereka jika itu yang dikehendaki oleh isteri.

Demikianlah hak pengurusan harta yang telah diberikan Islam kepada kaum wanita. Dan seperti yang telah kita ketahui, agama Islam telah memberikan hak-hak yang lain atau kelayakan untuk mengerjakan sesuatu kepada kaum wanita. Hak-hak itu diberikan dengan penuh kepada mereka sebagaimana yang telah diberikan kepada kaum lelaki.


Dalam perbahasan seperti ini, terkadang timbul satu persoalan yang berat menanyakannya tetapi sangat penting didedahkan. Soalan seperti begini: Kalau Islam sudah memberikan hak-hak penuh kepada kaum wanita, apakah Islam memberikan hak kepada mereka untuk memilih suami?

Agama Islam telah menggariskan secara nyata bahawa wanita, samada dara atau janda, bebas memilih calon suaminya. Dia bebas memerima atau menolak lamaran orang yang meminangnya. Ayah atau keluarganya yang lain tidak berhak memaksanya berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya
Banyak nas-nas yang menerangkan masalah ini, antara lain:

  • Rasulullah s.a.w telah bersabda dimana lebih kurang maksudnya " Setiap wanita perlu diminta persetujuannya tentang urusan perkahwinannya. Persetujuan janda diketahui dengan ucapannya sendiri, sedangkan anak dara perlu ditanya tentang persetujuannya. Kalau dia diam bermakna dia telah bersetuju" 
  • Ada disebut dalam hadis Bukhari dan Muslim bahawa Khansa'binti Juzzam telah dikahwinkan oleh ayahnya tanpa persetujuannya. Dan dia adalah seorang janda. Dia telah mendatangi Rasulullah s.a.w dan mengadukan persoalannya, lalu Rasulullah s.a.w telah membatalkan pernikahannya itu
  • Dalam riwayat yang diterima dari Ibnu Abbas, ada seorang hamba jariah yang masih perawan mendatangi Rasulullah s.a.w, Dia telah menceritakan bahawa ayahnya telah menikahkannya tanpa persetujuannya. Kemudian Rasulullah s.a.w telah memberikan pilihan kepadanya samada menerima perkahwinan itu atau membatalkannya. Setelah Rasulullah s.a.w memberikan hak kepadanya, dia berkata, " Engkau telah melepaskan aku daripada apa yang telah dilakukan oleh ayahku dan aku ingin menyampaikan kepada seluruh wanita bahawa ayah tiada berhak memaksa anak perempuannya berkahwin"
Inilah Agama Islam yang agung, wawasannya yang tepat, hukumnya yang adil serta sistemnya yang selamat, yang tidak sampai kepadanya umat yang cerdas serta kebudayaan yang tinggi

Dipetik dari Darul Nu'man 





Thursday, September 26, 2013

Wasiat Nabi Adam Kepada Puteranya


Nabi Adam a.s berwasiat kepada puteranya lima perkara dan menyuruh puteranya supaya mewasiatkan kepada puteranya dan seterusnya

  • PERTAMA. Katakan kepada putera-puterimu, jangan berasa tenang dengan dunia ini, kerana ketika saya berasa tenang denga  syurga Allah, maka Allah tidak redha mengusir saya daripadanya
  • KEDUA. Katakan kepada mereka, jangan menurutkan hawa nafsu wanita, maka sesungguhnya saya telah menuruti hawa nafsu wanita sehingga makan buah daripada pohon yang dilarang dan kemudiannya menyesal
  • KETIGA. Tiap amal yang hendak dikerjakan harus kamu perhatikan akibatnya, sebab seandainya saya memikirkan akibatnya maka saya tidak akan menerima akibat ini
  • KEEMPAT. Jika hati tidak tenang,maka hindarlah daripada perbuatan itu, sebab ketika aku memakan buah larangan itu goncang hatiku, tetapi aku tidak hiraukan, maka aku menyesal
  • KELIMA. Bermesyuwarahlah dalam semua urusan, sebab andainya aku bermesyuwarah dengan malaikat tidak akan terkena akibat ini
Doa Mohon Petunjuk Yang Hak dan Yang Batil:

"Ya Allah, perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu sebagai kebenaran dan berilah kekuatan kepadaku untuk mengikutinya. Dan perlihatkanlah pula kepadaku yang batil itu sebagai kebatilan dan berilah kemampuan bagiku untuk menghindarinya" 


Al-Raaf ayat 26:


" Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu tanda-tanda (limpahan kurnia) Allah (dan RahmatNya) kepada hamba-hambaNya supaya mereka mengenangNya ( dan bersyukur )"

Wednesday, September 25, 2013

Sepuluh Jenis Orang Islam Yang Kejam


Sufyan Athsauri berkata:
Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

  • seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri dan tidak mendoakan anak-anaknya dan kaum mukmin yang lain
  • seorang yang pandai membaca al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat
  • seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat ( sunat tahyatul masjid )
  • seorang yang berjalan dikuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur
  • seorang yang sampai ke sebuah kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah
  • seseorang yang di daerahnya di datangi orang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya
  • dua orang yang bertemu dijalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu
  • seorang yang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang
  • pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan
  • seorang yang kenyang sedangkan dia tahu jirannya lapar, tetapi tidak diberinya dari makanan itu
Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan diatas

Sunday, September 22, 2013

Kisah Nabi Nuh Meraung Tidak Henti-Henti


Nama asal Nabi Nuh a.s bukanlah Nuh, tetapi sesuatu nama lain yang tidak banyak diketahui, meskipun Allah s.w.t menyebut nama Nuh dalam al-Quran
Dalam bahasa Arab, makna NUH ialah raungan atau tangisan yang berterusan. Mengapa Nabi Allah itu dipanggil Nuh mempunyai kisahnya yang sangat menarik dan menjadi contoh yang berguna untuk umat manusia seluruhnya

Cerita Nabi Nuh a.s ini bermula pada suatu hari apabila seekor anjing yang sangat ganjil lalu dihadapan Nabi Nuh a.s Rupa anjing itu tidak seperti anjing-anjing biasa. Ia bermata empat dan sudah tentu menarik perhatian ramai, termasuk Nabi Nuh a.s sendiri pada zaman itu.


Nabi Nuh a.s pun menyuruh anjing bermata empat itu berhenti didepannya dengan agak kehairanan. Nabi Nuh a.s berkata " Wahai anjing, aku lihat muka kau begitu hodoh, mata engkau empat, tidak seperti anjing yang lain. Mengapa jadi begini?

Anjing itu pun menjawab "Kau tanyalah siapa yang menjadikan aku. Kau fikir aku yang mengkehendaki mukaku hodoh begini? Tanyalah Tuhan yang menjadikan aku dan juga yang menjadikan engkau?"

Nabi Nuh a.s pun meraung mendengarkan jawapan anjing yang hodoh itu. Ia menangis tidak henti-henti. Terasa benar kesalahannya mengkritik kejadian Tuhan.

Nabi Nuh a.s meraung dan meraung lagi beberapa lama kerana menyedari dosanya itu. Tidak henti-henti dia memohon keampunan daripada Allah s.w.t dengan tidak sengaja.

Sejak dari itu namanya dipanggil dengan NUH (raungan) dan kekallah namanya Nabi Nuh diabadikan dalam al-Quran dan diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t


Doa Melihat Orang Cacat / Seseorang Ditimpa Bala:

" Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang menimpanya, dan melebihkan aku daripada makhluk lain"