Tuesday, August 27, 2013
Antara Akal & Syahwat
Setelah suami Rabi'ah al Adawiyah mati, maka Hasan Bisri dan teman-temannya datang ke rumahnya dan dipersilakan mereka masuk. Kemudian ditutup Ra'biah tabir dan dia duduk dibelakang tabir seraya berkata: " Siapa yang paling pintar antara kalian maka dia adalah suami saya." Maka mereka menjawab: "Hasan Bisri".
Ra'biah: Apabila kamu dapat menjawab pertanyaanku, maka aku adalah milikmu"
Hasan: " Tanyalah semoga aku dapat menjawab"
Ra'biah: Apabila aku mati dan keluar daripada dunia ini, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau tidak?
Hasan: Itu masalah ghaib dan tidak seorang pun yang mengetahui kecuali Allah
Ra'biah: Bila aku telah diletakkan di liang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar & Nangkir apakah aku dapat menjawab atau tidak?
Hasan: Itu juga hal ghaib dan tidak ada orang yang mengetahuinya kecuali Allah.
Ra'biah: Apabila orang telah dikumpulkan di hari Kiamat dan diberikan catatan amal masing-masing, dengan tangan kanan atau tangan kirikah aku akan menerima amalanku?
Hasan: Itu pun barang ghaib juga.
Lalu Ra'biah berkata: Hai Hasan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya"
Kemudian Ra'biah bertanya untuk terakhir kalinya: "Hai Hasan, dalam beberapa bahagiankah Allah mencipta akal?"
" Sepuluh bahagian, sembilan untuk lelaki dan satu untuk perempuan" jawab Hasan
" Dalam berapa bahagiankah Allah mencipta syahwat?"
Hasan menjawab: " Sembilan bahagian untuk wanita dan satu bahagia untuk lelaki"
Ra'biah berkata: Hai Hasan, aku dapat menguasai 9 bahagian syahwatku dengan satu akal, sedang kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian syahwat dengan sembilan akal yang kamu dapat"
Dan keluarlah Hasan dari rumah Ra'biah dengan tangisan dan air mata yang bercucuran.
Dipetik dari Cerita & Doa
Doa Menuntut Ilmu Pengetahuan:
"Ya Allah, Tuhan yang Maha Hidup yang berdiri sendiri, pencipta langit dan bumi. Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Mulia.
Ya Allah tidak ada tuhan yang patut disembah hanya engkau aku memohon kepada-Mu semoga kiranya Engkau hidupkan akan hatiku dengan Nur hidayah-Mu
Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang"
Peganglah Api Apabila Teringatkan Zina
Ada seorang soleh yang sangat patuh pada perintah agamanya dan sentiasa menjaga diri daripada segala bentuk maksiat dan keburukkan, sehingga pada suatu malam terlintas di dalam hatinya untuk berzina dengan seorang wanita jelita kerana terpersona pada kecantikkannya
Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang baru sahaja dinyalakan untuk menerangi rumah orang soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu
Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri: " Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah! Aku akan letakkan jariku ini diatas sumbu pelita yang menyala itu, kiranya ia tahan panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu!"
Maka orang soleh itu pun meletakkan jarinya diatas sumbu tadi. Dan dia cuba untuk menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan dengan kepanasannya yang dideritanya itu.
Lalu dia segera berteriak: 'Wahai jiwa, tahniahlah engkau! Rupanya engkau tidak tahan. Ini baru kepanasan api dunia, engkau sudah tidak tahan, padahal api dunia itu telah disejukkan oleh Allah s.w.t dengan air sebanyak 70 kali ganda agar manusia boleh bertentang dengannya.
Kalau hanya menghadap api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi untuk menghadapi api neraka yang panasnya 70 kali ganda lebih dahsyat daripada api dunia ini" Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak hari itu hatinya tidak pernah di ganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.
Dipetik dari cerita & doa
Doa Mohon Hati Untuk Taat & Menjauhi Maksiat:
"Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu terbuka hati untuk membuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran, menyukai orang-orang Mukmin dan mengharapkan kasih sayang-Mu dan keampunan-Mu.
Apabila engkau menimpakan sesuatu ujian kepada satu golongan umat, maka hindarkanlah aku dari ditimpa ujian itu.
Aku tetap mohon kasih sayang-Mu dan kasih sayang kepada orang-orang yang suka pada-Mu dan menyukai orang yang mendekatkan diri kepada-Mu"
Zikir Lebih Berharga Dari Emas & Dirham
Nabi s.a.w menggalakkan umatnya berzikir. Sebagaimana hadis daripada Abu Darda; telah bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud " Tidakkah kamu mahu mengetahui sebaik-baik amalanmu, yang paling bersih disisi Tuhanmu, yang paling tinggi di dalam darjatmu, yang paling berharga daripada emas dan dirham atau lebih berharga daripada kamu memerangi musuhmu samada kamu membunuh atau kamu terbunuh?
Para sahabat bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah?
Sabdanya: ZIKRULLAH
HR Tirmizi
Dipetik dari majalah Iman
Monday, August 26, 2013
Solat Jenazah - Anak Menjadi Imam
Ini adalah antara amalan pengurusan solat jenazah yang perlu kita terapkan dalam masyarakat kita. Tidak ramai anak-anak atau orang awam, sanggup mengimamkan solat jenazah ibu atau bapa mereka hanya kerana isu remeh seperti tidak berkemampuan membaca doa yang panjang.
Jadi golongan yang berilmu, termasuk para imam dan ustazlah yang perlu memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang bersifat praktikal untuk masyarakat
Kita tidak perlu menunding jari kepada masyarakat umum yang tidak berani kehadapan dalam mengimamkan solat jenazah ahli keluarga. Ini kerana amalan masyarakat kita sebenarnya kurang memberi peluang kepada ahli keluarga terdekat. Disamping terdapatnya amalan-amalan tambahan yang menjadikan ramai di kalangan kita terlepas amalan-amalan yang lebih afdal
Jika keluarga terdekat anda pulang ke rahmatullah, bersedialah untuk menguruskan jenazah termasuk mengimamkan solat. Itulah yang lebih afdal kerana doa anda lebih ikhlas mengharapkan pengampunan dan rahmah Allah s.w.t.
Jika anda imam atau ustaz , bimbinglah keluarga si mati untuk menguruskan jenazah dan mengimamkan solat. Berilah peluang kepada kaum wanita sama-sama menunaikan solat dan berdoa bersama. Diharapkan solat dan doa daripada keluarga terdekat ini lebih ikhlas dan diterima oleh Allah Taala.
Semoga dengan cara ini akan lebih menghayati peranan mereka sebagai hamba Allah.
Dipetik dari majalah Iman oleh Ustaz Abdullah Hamzah
Solat Jenazah - Ganjaran Yang Besar
Seringkali juga kita melihat jenazah di solatkan, ramai yang hanya sekadar menjadi pemerhati sedangkan ganjaran pahala bagi mereka yang solat jenazah amat besar. Sabda Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang menziarah jenazah dan solat untuknya ia akan mendapat satu 'qiirat'. Sesiapa yang solat dan menunggu sehingga ianya dikebumikan dia akan mendapat dua 'qiirat' . Rasulullah s.a.w ditanya apa yang dimaksudkan denga dua 'qiirat' itu. Rasulullah s.a.w menjawab: Umpama dua bukit yang besar. HR Muslim
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya pahala mereka yang solat jenazah dan juga sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga dikebumikan. Tetapi masih ramai lagi yang tidak mengambil peluang ini.
Sebenarnya solat jenazah itu adalah sangat mudah. Ianya telah disyariatkan kepada umat Islam, tidak mengira lelaki atau wanita. Walaupun ianya fardhu kifayah yang tidak diwajibkan semua orang melaksanakannya, tetapi ia adalah peluang yang jarang ditemui. lebih-lebih lagi jika melibatkan keluarga terdekat yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.
Di petik dari Majalah Iman
oleh Ustaz Abdullah Hamzah
Fadilat Zikir
Dari Jabir bin Abdillah ia berkata aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik adalah Alhamdulillah" HR Ibnu Majah
Disamping itu zikir Lailahaillallah mempunyai banyak fadilat dan kelebihan antaranya adalah:
- Mendapat syafaat dari Rasulullah s.a.w - ini berdasarkan daripada hadis Abu Hurairah r.a, bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Yang mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucapkan kalimah Lailahailalllah dengan hati yang ikhlas" HR Bukhari
- Mendapat jaminan masuk syurga - Dari Zaid bin Aqram meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Barangsiapa yang mengucapkan Lailahailallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan kedalam syurga. Lalu ditanya kepada Baginda s.a.w " Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?" Rasulullah s.a.w bersabda " Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram" HR at-Tabarani
- Tidak akan dimasukkan kedalam api neraka - Dari Umar r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud " Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah keatasnya neraka jahanam. Kalimah itu adalah Lailahailallah HR al-Hakim
- Mendapat timbangan yang lebih berat daripada amalan -amalan yang lain - Dari Abi Abas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud " Demi diriku ditanganNya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya, dan apa-apa yang ada diantaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan disebelah dacing dan kalimah 'Lailahailallah' disebelah yang lain, maka dacing kalimah 'Lailahailallah' itulah yang lebih berat" HR at-Tabarani
- Merupakan anak kunci syurga - Muadz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah 'Lailahaillallah' HR Imam Ahmad
Qarun - Hartawan Yang Penipu, Kedekut & Kufur Nikmat
Kurniaan harta yang di berikan oleh Allah swt sebenarnya adalah suatu ujian buat semua umat manusia. Mengikut kisah daripada al-Quran, Qarun adalah salah seorang daripada hartawan yang telah dipinjamkan oleh Allah swt dengan kekayaan yang tiada tandingannya dimata insan pada ketika itu.
Tetapi sayang sekali, harta yang dikurniakan itu menjadi bala serta musibah yang besar keatas dirinya apabila telah ditenggelamkan oleh Allah swt bersama harta yang dimegah-megahkan olehnya
Situasi ini telah digambarkan melalui firman Allah swt yang berbunyi " Maka kami benamkan dia (Qarun) bersama rumah (hartanya) kedalam perut bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang akan menolongnya selain Allah swt dan dia tidak termasuk orang yang dapat membela diri" AL-QASAS: 81
Sebenarnya apa yang dapat kita hayati daripada kisah Qarun ialah janganlah kita sampai ketahap kufur kepada nikmat Allah swt serta lupa untuk mensyukuri nikmat. Ibnu Qayyim telah menjelaskan bahawa sifat kufur nikmat ini adalah satu fenomena semulajadi yang semestinya akan terjadi kepada setiap Muslim yang terlalu asyik atau lalai dengan nikmat dunia.
Apabila penyakit-penyakit hati sebegitu telah semakin memenuhi diri,maka insan akan lebih mencintai dunia lebih daripada perkara akhirat. Perintah Allah swt akan dilanggar dan tidak diendahkan akibat daripada rasa 'hubbu al-Duniyya' yakni terlalu cintakan dunia Insafilah diri bahwa dunia dan isinya adalah sementara, sekadar pinjaman daripada Alalh swt buat kita
Dipetik daripada Majalah Iman
Haman - Penasihat Yang Suka Mengampu & Menyorokkan Kebenaran
Dalam al-Quran, kisah yang berkaitan dengan kekejaman Firaun tidak boleh dipisahkan dengan penjelasan tentang menteri atau penasihatnya iaitu Haman
Para mufasirin menjelaskan bahawa Haman adalah penasihat yang sangat disayangi oleh Firaun dan menjadi tempat rujukannya. Sebagai seorang menteri kanan, dia sepatutnya menyebut perkara yang benar dan menasihati ketuanya tentang perkara kebaikkan. Akan tetapi, demi menjaga kedudukan dan jawatannya, Haman menyembunyikan nasihat yang benar. Malah dia sentiasa mengampu Firaun dan mengiakan setiap tingkah laku Firaun yang sangat kufur.
Hal ini ditunjukkan melalui firman Allah swt yang bermaksud " Dan Firaun telah berkata 'Wahai para pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada tuhan bagimu semua melainkan aku. Maka bakarlah tanah liat (untuk dijadikan batu bata) untukku wahai Haman, kemudian buatlah bagiku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik dan melihat Tuhan Musa, dan aku yakin dia termasuk daripada kalangan pendusta' "
(Al Qasas:38)
Iktibar yang boleh diambil ialah, apabila kita diberi tanggungjawab untuk memberikan nasihat dan menyuarakan pandangan tentang sesuatu kemusykilan, janganlah sesekali kita memberikan jawapan atau pandangan yang bertujuan mengampu atau mengambil hati orang atasan. Sehingga kita sanggup untuk menukarkan yang hak kepada yang batil dan yang batil kepada yang hak.
Ini sangat ditegah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Baginda saw tealh menyifatkan bahawa agama Islam adalah satu nasihat " Agama itu adalah suatu nasihat, Kami bertanya: ' Bagi Siapa?' Maka Rasulullah menjawab" Bagi Allah, bagi KitabNya, bagi RasulNya, bagi Pemimpin kaum Muslimin dan bagi seluruh umat Muslimin"
Thursday, August 22, 2013
6 Halangan Mencapai Darjat Solihin
Ibrahim Bin Adham berkata: Seseorang itu tidak akan dapat mencapai darjat solihin melainkan dia terlebih dahulu melepasi enam halangan:
- Tertutupnya pintu nikmat dan terbukanya pintu kesusahan
- Tertutupnya pintu kerehatan dan terbukanya pintu usaha keras
- Tertutupnya pintu kebanggaan dan terbukanya pintu kehinaan
- Tertutupnya pintu tidur dan terbukanya pintu berjaga malam
- Tertutupnya pintu kekayaan dan terbukanya pintu kefakiran
- Tertutupnya pintu angan-angan dan terbukanya pintu persediaan untuk menghadapi kematian
Wednesday, August 21, 2013
Kamu Aibkan Orang, Allah Aibkan Kamu
Ketahuilah bahawa Allah swt Maha Adil. Sekiranya kamu membuka aib orang lain dan meuar-uarkannya, maka bersedialah untuk diaibkan pula.
Sabda Rasulullah saw "Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya, tetapi belum masuk lagi iman kedalamnya! Janganlah kalian mengumpat orang-orang Islam, janganlah sekali-kali kamu membuka aib mereka. Sesungguhnya, siapa yang membuka aib saudaranya, maka Allah akan membuka aibnya pula. Dan barangsiapa yang Allah buka aibnya ia tetap akan berlaku walaupun di dalam rumahnya sendiri"
HR Abu Daud
Justeru, peliharalah lidahmu dengan ibadah. Jadikanlah ia sebagai anggota untuk membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah swt. Janganlah berkata-kata melainkan perkara-perkara yang baik-baik sahaja dan berfaedah. Semoga nikmat lidah yang diberi menjadi asbab untuk masuk kedalam syurga yang indah dengan jalan yang mudah
Anda Suka Makan Daging Manusia?
Sudah semestinya anda tidak suka. Bahkan, anda akan mengatakan bahawa daging manusia haram dimakan. Namun itulah hakikatnya. Apabila seseorang mengumpat saudaranya yang lain, maka sebenarnya sedang memakan daging saudaranya yang telah mati.
Firman Allah swt "Janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika sedemikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani" Surah al-Hujurat:12
Menurut Imam at-Tabari, di dalam ayat ini Allah swt mengajukan soalan kepada orang-orang yang beriman sama ada mereka suka memakan daging saudara mereka selepas mereka mati. Justeru, jika kamu berasa jijik dan tidak sanggup untuk memakan daging manusia, begitulah seharusnya yang perlu kamu rasakan ketika ingin mengumpat orang lain.
Dengan mengambarkan bahawa kamu bakal mengunyah dan menelan daging saudara kamu, seharusnya kamu mampu segera berhenti daripada bercerita mengenai keaiban saudara kamu itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)