Monday, August 26, 2013

Haman - Penasihat Yang Suka Mengampu & Menyorokkan Kebenaran


Dalam al-Quran, kisah yang berkaitan dengan kekejaman Firaun tidak boleh dipisahkan dengan penjelasan tentang menteri atau penasihatnya iaitu Haman

Para mufasirin menjelaskan bahawa Haman adalah penasihat yang sangat disayangi oleh Firaun dan menjadi tempat rujukannya. Sebagai seorang menteri kanan, dia sepatutnya menyebut perkara yang benar dan menasihati ketuanya tentang perkara kebaikkan. Akan tetapi, demi menjaga kedudukan dan jawatannya, Haman menyembunyikan nasihat yang benar. Malah dia sentiasa mengampu Firaun dan mengiakan setiap tingkah laku Firaun yang sangat kufur.


Hal ini ditunjukkan melalui firman Allah swt yang bermaksud " Dan Firaun telah berkata 'Wahai para pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada tuhan bagimu semua melainkan aku. Maka bakarlah tanah liat (untuk dijadikan batu bata) untukku wahai Haman, kemudian buatlah bagiku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik dan melihat Tuhan Musa, dan aku yakin dia termasuk daripada kalangan pendusta' "

(Al Qasas:38)

Iktibar yang boleh diambil ialah, apabila kita diberi tanggungjawab untuk memberikan nasihat dan menyuarakan pandangan tentang sesuatu kemusykilan, janganlah sesekali kita memberikan jawapan atau pandangan yang bertujuan mengampu atau mengambil hati orang atasan. Sehingga kita sanggup untuk menukarkan yang hak kepada yang batil dan yang batil kepada yang hak.


Ini sangat ditegah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Baginda saw tealh menyifatkan bahawa agama Islam adalah satu nasihat " Agama itu adalah suatu nasihat, Kami bertanya: ' Bagi Siapa?' Maka Rasulullah menjawab" Bagi Allah, bagi KitabNya, bagi RasulNya, bagi Pemimpin kaum Muslimin dan bagi seluruh umat Muslimin" 

No comments:

Post a Comment