Wednesday, April 8, 2015

Amalan Yang Terbalik

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita dapati amalan kita terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik

Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian ( malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya ) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah saw, dimana Rasulullah saw telah menganjurkan jiran tetangga memasakkan makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan beban dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakakah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan si mati yang belum di bahagikan kepada yang berhak menurut Islam? Bagaimana dengan tahlil itu sendiri, adakah ianya anjuran Islam?


Kalau ke kenduri kahwin, orang kerap salam berisi. Kalau tak ada wang yang nak dikepitkan dalam tangan, maka seganlah dia nak pergi ke kenduri tersebut. Tapi kalau pergi menziarahi orang mati, tak segan pula bersalam tanpa tangan berisi. Sepatutnya kalau menziarahi keluarga si matilah kita harus memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak mengapa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik dan kemas dan segak tampan tetapi bila mengadap Allah swt di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini perbuatan yang terbalik.


Kalau menjadi tetamu dirumah orang dan di beri jamuan, kita berasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidangkan supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.


Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau bersolat sunat dirumah sangat malas. Sedangkan sebaik-baik solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti dianjurkan oleh Rasulullah saw untuk mengelakan rasa riak.


Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati  perbelanjaan di bulan puasa adalah tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?


Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakkan orang akan mengadakan kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya selamat dari bermusafir, maka kenduri dibuat. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain??


Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak kita tak boleh baca al Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca al Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup bayar sebulan berpuluh ringgit satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok guru al Quran nak bayar rm15.00  sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak kita tak dapat baca al Quran atau bersolat dari tak lulus peperiksaan.


Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi ke rumah Allah, tak hujan tak panas tak ribut pun tetap tak datang ke masjid, sedangkan itu peraturan Allah. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.


Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk dirumah, Masyallah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.


Kita cukup teruja untuk forward sms atau email dalam bentuk jokes, gossip artis kepada kawan-kawan. Malahan kebanyakkan email, sms tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah orang lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward email, sms peringatan sebegini kepada kawan-kawan kita? 


Cukup dengan contoh-contoh diatas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang menciptakan kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.


Sabda Rasullullah saw. " Sampaikan dariku walaupun satu ayat" -  Riwayat Bukhari 


2 comments: